Friday, March 23, 2018

RESOLUSI RAPAT (PENGURUSAN) SAMM KEBANGSAAN 01/2018


Kenyataan Media
19 Mac 2018

RESOLUSI RAPAT (PENGURUSAN) SAMM KEBANGSAAN 01/2018

Solidariti Anak Muda Malaysia telah pun selesai mengadakan Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018. Rapat ini disertai oleh Penyelaras SAMM Kebangsaan, Penyelaras SAMM Negeri dan Segmentasi, dan aktivis-aktivis SAMM dari seluruh negara. Rapat kali ini dipanggil untuk berbincang dan memperhalusi peranan SAMM dalam menghadapi Pilihanraya Umum Yang Ke-14 nanti.

Justeru itu, Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018 telah bersetuju dan meluluskan Resolusi Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018 seperti berikut :

1. Kempen Undi Calon Berwibawa
Sepanjang usia kemerdekaan negara ini, kita sudah menyaksikan ramai Wakil-Wakil Rakyat yang tidak berwibawa telah dipilih. Akhirnya, mereka-mereka ini bukan sahaja gagal berbahas di dalam Dewan bahkan lebih teruk langsung tidak berkhidmat di kawasan konstituensi mereka.
Justeru itu, SAMM menyeru semua rakyat agar tidak mengundi secara en-bloc (mengundi berdasarkan kepada parti) sebaliknya, mengundi berdasarkan calon sama ada berwibawa atau pun tidak. Kriteria calon berwibawa seperti kredibiliti calon, keupayaan calon untuk mengemukakan idea dan pandangan politik yang rasional dan matang, kemampuan calon untuk berkhidmat kepada rakyat, dan lain-lain perlu menjadi perhatian pengundi apabila memilih dalam pilihanraya nanti.
SAMM juga menegaskan pendirian kami menolak ahli politik atau calon-calon yang bertanding lebih daripada satu kerusi. Kaedah satu calon, satu kerusi boleh menjadikan setiap calon yang memenangi kerusi tersebut dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada kawasan konstituen yang telah dimenanginya.

2. Menolak 12 Ahli Politik Malapetaka
SAMM telah membuat kajian lapangan berkenaan dengan situasi politik tanahair sepanjang bulan Februari 2018. Dapatan kajian tersebut juga telah merumuskan senarai 12 Ahli Politik yang wajar ditolak oleh rakyat Malaysia kerana terpalit dengan skandal atau korupsi, mempergunakan agama dan kaum dan lain-lain. SAMM akan mendedahkan hasil kajian tersebut dalam tempoh terdekat dan akan mengumumkan pendekatan kempen sesuai dengan hasil kajian tersebut.

3. Meraikan Kepelbagaian Pandangan
Dalam suasana ribut politik yang melanda tanahair ketika ini, SAMM menegaskan semua pihak perlu meraikan dan menghormati kepelbagaian pandangan. Dalam isu #UndiRosak contohnya, Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018 mengambil sikap menghormati dan meraikan pandangan dan hak bersuara rakan-rakan aktivis lain yang mengutarakan kempen ini. Akan tetapi, SAMM tidak mengambil sebarang pendirian sebaliknya memberikan tumpuan dan fokus kepada kempen Undi Calon Berwibawa dan Satu Calon, Satu Kerusi sahaja.

4. Penyelesaian dan Bukan Gula-Gula
Negara ini sedang berdepan dengan pelbagai kemelut, daripada kemelut politik kepada kemelut ekonomi kepada kemelut pentadbiran. Justeru itu, Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018 mengambil ketetapan bahawa negara ini memerlukan satu jalan penyelesaian yang tuntas bukannya manifesto gula-gula.
SAMM menegaskan tawaran-tawaran kosmetik yang ditawarkan dalam manifesto parti-parti politik tidak akan menyelesaikan kemelut utama negara ini sebaliknya seperti ubat penahan sakit semata-mata. SAMM akan mencetak Booklet Jalur Tuntutan Negara Perubahan untuk diedarkan kepada rakyat Malaysia.

5. Pasca PRU-14
Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018 turut memikirkan mengenai beberapa krisis yang mungkin boleh berlaku pasca PRU-14 dan persediaan untuk menghadapinya.

Sekian,

Shariful Azmir Bin Hj Mustafa
Pengarah
Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 01/2018

No comments:

Post a Comment